sila klik

mulakan dengan

Sabtu, 3 November 2012

Kisah The REd Warriors


Merupakan anak jati negeri Kelantan yang dilahirkan pada 2 Jun 1982. Badhri lebih dikenali sebagai Piya oleh peminat-peminat bolasepak tempatan. Piya dikatakan sebagai pemain yang wajib untuk diturunkan sebagai pemain utama dalam setiap perlawanan. Memiliki gaya permainan yang tenang dan bersahaja, Piya sentiasa menjadi duri dalam daging untuk pasukan lawan. Sebagai kapten pasukan Kelantan, beliau begitu berpengaruh dan dihormati oleh rakan-rakan sepasukan dan juga peminat.

Boleh dikatakan juga Piya merupakan kapten paling berjaya dalam Malaysia apabila berjaya membantu Kelantan merangkul gelaran treble buat pertama kali dalam sejarah bolasepak Kelantan. sebelum ini, Piya berjaya membantu Kelantan menjulang Piala Malaysia buat pertama kali pada tahun 2010 apabila beliau yang menjaringkan gol kemenangan yang begitu cantik.

Pada tahun 2011, Piya bersama Kelantan berjaya memenangi Liga Super dan naib juara Piala FA. Tahun 2012 tentunya tahun paling cemerlang untuk Piya apabila memenangi kesemua ketiga-tiga piala utama iaitu Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia. Menjuarai Piala Malaysia tentunya pengalaman manis buat Piya apabila di final beliau merupakan pemain yang 'assist' 3 gol untuk Kelantan sekaligus memastikan Kelantan mengalahkan ATM dengan jaringan 3-2.

Walaupun gagal memikat hati ketua jurulatih kebangsaan, Piya tetap membanggakan Kelantan dan Malaysia apabila beliau tersenarai dalam kebelasan terbaik Asia untuk bulan Oktober 2012 oleh laman web tersohor dunia Goal.com (rujuk disini).



Ahad, 26 Februari 2012

Brunei kelima terkaya

4 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - BANDAR SERI BEGAWAN 25 Feb. - Brunei Darussalam menduduki tangga kelima senarai 182 negara paling kaya di dunia hasil daripada kekayaan sumber minyak dan gas asli negara itu yang menyumbang pendapatan per kapita sebanyak AS$48,000 (RM144,581).

Menurut majalah Forbes menerusi laporan dalam taliannya, kedudukan negara terkaya di dunia dinilai berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang diselaraskan dengan kuasa beli.

Forbes turut menggunakan data yang dikumpulkan dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bermula 2010 hingga yang terbaru.

"Kuasa beli yang disesuaikan dengan KDNK digunakan oleh pakar ekonomi ketika membuat perbandingan antarabangsa kerana ia mengambil kira perbezaan kos sara hidup dan kadar inflasi berbanding hanya membuat perbandingan kadar pertukaran asing yang memutarbelit perbezaan sebenar dalam nilai," lapor majalah itu.

Awal bulan ini, Jabatan Pembangunan dan Perancangan Ekonomi (JPKE) melaporkan, indeks harga pengguna Brunei meningkat 1.8 peratus dari 2010 ke 2011, manakala purata pertumbuhan negara itu kurang daripada satu peratus setiap tahun.

Menurut JPKE, purata tahunan Indeks Harga pengguna (CPI) Brunei pada 2011 adalah 106.9 berbanding 104.8 pada 2010, dengan kadar inflasi dua peratus sepanjang tahun lalu.

Ekonomi Brunei didominasi oleh industri minyak dan gas dengan 90 peratus daripada eksportnya dan lebih separuh daripada KDNK negara itu datang daripada sektor tersebut.

Qatar dinamakan negara terkaya di dunia dengan jumlah KDNK per kapita lebih AS$88,000 (RM265,065) pada 2010, sementara Luxembourg di tangga kedua dengan KDNK per kapita lebih AS$81,000 (RM243,980) hasil daripada menjadi negara hab kewangan.

Singapura berada di tangga ketiga dengan KDNK per kapita hampir AS$56,700 (RM243,980), manakala Norway di kedudukan keempat dengan jumlah KDNK per kapita AS$52,000 (RM156,629). - AGENSI
sumber

info