sila klik

mulakan dengan

Ahad, 25 Oktober 2009

Separuh Akhir Piala Malaysia 2009

Negeri Sembilan, Perlis, Kelantan Dan Terengganu Ke Separuh Akhir Piala Malaysia


KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Perlis, Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu melayakkan diri ke peringkat separuh akhir saingan bola sepak Piala Malaysia selepas memenangi perlawanan suku akhir malam Sabtu.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pasukan Terengganu mencipta kejutan dengan menewaskan pasukan pilihan Selangor dengan kemenangan 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 malam ini dan 2-2 secara agregat.

Dalam perlawanan malam ini, Terengganu membuka tirai jaringan menerusi Abdul Manaf Mamat pada minit ke-12 tetapi pada minit ke-62 Selangor menyamakan kedudukan menerusi D. Surendren. Perlawanan berakhir dengan keputusan 1-1 dan tambahan masa 30 minit masih gagal menghasilkan gol menyebabkan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Baharu, Kelantan melangkah ke perlawanan separuh akhir selepas menang bergaya 3-0 ke atas KL Plus. Dengan keputusan itu Kelantan mara dengan agregat 4-1 selepas seri 1-1 di Cheras, Selasa lalu.

Gol pasukan "Red Warriors" di hadapan lebih 20,000 penyokong itu dijaringkan oleh pemain sensasinya Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-13 melalui sepakan penalti dan dua gol lagi dijaringkan penyerang Mohd Norfarhan Mohamad pada minit ke-75 dan 78.

Negeri Sembilan melangkah ke perlawanan separuh akhir setelah menewaskan Kuala Muda Naza 3-0 dalam perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, untuk secara agregat menang 5-0

Negeri Sembilan mendapat jaringan pertama pada minit ke-12 menerusi Mohd Shukor Adan.

Kuala Muda terus tertekan apabila pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-28 setelah Idris Abdul Karim dijatuhkan dan berjaya disempurnakan oleh Mohd Zakuan Adha untuk menjadikan kedudukan 2-0 dan Shahurain Abu Samah menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-36

Perlis pula menempah tiket ke separuh akhir apabila menumpaskan Johor FC dengan agregat 4-1 setelah malam ini menang 2-0 dalam perlawanan di Stadium Utama di Kangar.

Gol-gol Perlis dijaringkan oleh Amar Rohidan pada minit kelapan dan Nizaruddin Yusof pada minit ke-48.

Perlawanan malam ini dicemari dengan insiden pergaduhan di tengah padang pada minit ke-69 menyebabkan dua pemain Johor iaitu Mohd Saiful Sabtu dan Sivakumar Munusamy serta seorang pemain Perlis Azi Shahril Azmi dilayangkan kad merah oleh pengadil R.Krishnan.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

info