sila klik

mulakan dengan

Ahad, 10 Mei 2009

sempena hari ibu

Assalamualaikum wbt,
Kehadapan ibuku yang juga permata hatiku..
ku titipkan bingkisan ini dari kejauhan,
meluahkan bicara yang terpendam yang aku sendiri tak mampu ucapkan.

Pagi itu aku bangun, kulihat ibu masih lagi sedang asyik sujud mengadapNYA, lalu lenaku bertandang kembali, seketika kemudian aku terjaga lagi, ku lihat ibu masih lagi tenang dalam solatmu. Ibuku, kebahagian bukan selalunya menjadi milik kita, tetapi aku lihat ibu terlalu tenang menghadapi ujianNYA.

Ibuku,
Seandainya ku diberi pilihan, longgokan permata disogokkan aku tetap memilih kamu sebagai pilihan utamaku. Kau idolaku ibu, aku melihat kau sentiasa cekal dalam dugaanNYA, aku lihat raut wajahmu sentiasa tenang, tapi aku tahu bicara hatimu, kau terluka ibuku, tapi kau tak mahu tunjukkan kepadaku, kau menangis ibuku, tapi kau menangis dalam jiwamu, dalam hatimu.
Aku hidup hari ini keranamu ibuku, aku tabah hari ini kerana semangatmu sayangku. Pernah dulu ku putus semangat, asaku tenggelam dek kejian mereka, tapi bilaku terkenangkan ibu, semangatku tersambung, aku perlu hidup untuk ibu, aku perlu kuat untuk ibu, terfikir aku seketika,
seandainya tuhan menginginkan aku dahulu,
siapa yang akan menjaga ibu?
Siapa yang akan membela nasibmu kasihku?
Siapa yang akan menyinari hari tuamu ibu?

Ibu,
Dengan kudratmu yang tak seberapa, kau membanting tulang, menyaraku, memerah keringatmu mencari rezeki yang halal disaat seorang lelaki yang sepatutnya kau jadikan dahan tempatmu bergantung menghilangkan diri. Aku melihat ibu begitu bersahaja, mengutip kotak-kotak kosong, tin-tin kosong, bahan buangan orang yang ibu rasa terlalu berharga, Dengan rezeki yang orang pandang kotor itulah ibu mengisi perutku, menghilangkan laparku, meneruskan hayatku. Ibuku terus terang dari hati aku berbicara, aku tak pernah malu punya ibu sepertimu, malah aku bangga ada ibu yang kuat dan tabah. Ibuku, aku menangis melihat deritamu, aku pilu melihat dukamu, tapi aku perlu menjadi kuat didepanmu agar aku mampu menjadi semangatmu. Tidak sekali aku benarkan air mataku ini tumpah dihadapan ibu.

Ibuku,
38 tahun hidupku kini, inginku singkapkan bait-bait perjalananku, menyingkap duka yang lebih banyak hadir dari gembira. Namun aku tak pernah, malah takkan sekali-kali menyalahkan ibu atas apa yang terjadi. Kau wanita yang terlalu mulia untuk dibebankan dengan silap. Aku tahu kau jua tak inginkan benda ini terjadi dalam keluarga kita kan? Aku tahu impianmu sentiasa ingin melihatku bahagia kan? Aku renung matamu, aku lihat sinar harapan yang tak pernah padam terletak disitu. Setiap kali ku berkesempatan pulang, sering kali kucuri waktu untuk menatap wajahmu wanita kesayanganku, aku lihat wajahmu lebih tua dari usia, mungkin beban yang kau tanggung terlalu berat. Ibuku aku ingin menjadi semangatmu, menjadi dahanmu kini, sebab aku rasa aku sudah semakin dewasa untuk bersamamu mengharungi dugaan yang mendatang.

Ibuku,
Aku belum puas merasai kasihmu ibu, aku belum sempat mencurahkan baktiku padamu ibu, Alhamdulillah Dia mendengar doaku ibu, dalam linangan air mata aku memohon berilah ibu peluang merasai bahagia seperti orang lain, dalam sedu sedan aku berdoa jangan ibu tinggalkan aku disaat aku masih belum bersedia.

Ibu,
Setiap helaan nafasku adalah untuk ibu, aku hidup dengan semangatmu yang sentiasa membara itu, aku nak jadi wanita sesolehah ibu, aku ingin contohi ibu, cekal dan tabah, punya impian yang besar tidak sepadan langsung dengan tubuh kecilmu itu. Tahu tak ibu, setiap langkah kakiku, setiap hala tujuku, setiap apa yang aku ingin lakukan, aku sentiasa ingat pesanan ibu, apa yang ibu tegah, takkan sekali-kali aku lakukan, sebab luka ibu, aku yang rasa sakitnya, kecewa ibu adalah hukumanku sepanjang hayat. Aku takkan benarkan air mata ibu tumpah kerana perbuatan ku, tapi kalau air mata ibu tumpah kerana kejayaanku, aku tak pernah menghalang, bahkan aku puas kerana berjaya menitiskan air mata gembiramu.


Ibuku,


"SELAMAT HARI IBU" untuk ibu, wanita yang paling aku sayang dalam hayatku, dan nantikan kepulanganku, tapi ibu maaf ku pohon kerana aku mungkin tak mampu meraikan tepat pada masanya sebab tuntutan tugas mengekang hasratku. Anak2 sayangkan ibu, cintakan ibu dalam setiap helaan nafas ini, dalam setiap atur langkah kaki ini ibu.

Salam sayang dan rindu,
biar jarak masa,
dan tempat memisahkan kita,
tapi ibu sentiasa di hati ini,
selalu dalam jiwaku,
Bersatu dalam semangatku
Dari anak-anak mu...
untuk:Pn Hafizah bt Derahman

emzek

Tiada ulasan:

info