KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) Berhad tidak mampu untuk berada dalam zon selesa bagi memastikan kelangsungannya di dalam pasaran automotif abad ke-21 ini.
"Dalam keadaan kemelut ekonomi global mutakhir ini, kita sedang menyaksikan bagaimana nama-nama besar industri automotif dunia sedang bertarung menghadapi kemelut demi untuk kelangsungan organisasi mereka, Proton perlu mengambil iktibar dari apa yang berlaku," kata Najib ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Proton Exora di sini malam ini.
Beliau berkata Proton perlu tingkatkan inisiatif dan usaha secara proaktif dalam meningkatkan daya saing dan produktivitinya.
Proton juga perlu mempunyai imej pengeluar produk yang memenuhi selera pengguna dari segi reka bentuk, kualiti dan harga yang berpatutan, kata beliau.
"Sebagai pengeluar kereta nasional, Proton tidak terlepas dari keperluan untuk menjadi sebuah syarikat yang lebih kompetitif bagi menentukan survivalnya di dalam pasaran automotif abad ke21," kata Najib.
"Di dalam era globalisasi yang mencabar lebih-lebih lagi ketika kita sedang menghadapi krisis kewangan dan ekonomi global yang terburuk semenjak "the great depression" kita mesti mencari penyelesaian yang lebih kreatif dan inovatif kepada masalah yang dihadapi," tambahnya.
"Kita harus berani untuk keluar dari kotak pemikiran konvensional," kata Perdana Menteri lagi.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed serta timbalannya Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Penasihat Proton Holdings, Tun Mahathir Mohamad, Pengerusi Proton Holdings, Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh dan Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.
"Bagi menangani sebarang krisis, kita tidak sekali-kali mampu untuk bersifat dogmatik dan menolak secara awal sebarang opsyen, semua opsyen mesti dipertimbangkan demi kepentingan negara," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.
Untuk itu, kata beliau, Proton mesti melihat dengan lebih serius kepada keperluan mengadakan pakatan strategik untuk mengeluarkan produk yang lebih efisyen dalam bahan api dan yang memanfaatkan teknologi yang mesra alam.
"Dalam pasaran tempatan dan eksport yang tegar persaingan, kita mesti sentiasa mendahului pesaing-pesaing untuk berjaya. Begitu juga pesaing-pesaing kita akan juga terus berusaha mencabar kedudukan kita. Tidak ada konsep "free ride" atau "free lunch" di dalam dunia ini."
"Kita harus ingat dan insaf bahawa tidak ada pesaing yang akan memperlahankan tempo kemajuannya semata-mata untuk membantu atau menanti kita mengurangkan jurang persaingan yang wujud."
Mengulas tentang Exora, Najib berharap model itu akan mampu memenuhi permintaan pengguna Malaysia yang semakin prihatin terhadap keperluan keselesaan dan juga keselamatan keluarga di jalan raya.
Exora adalah kenderaan pelbagai guna (MPV) buatan Malaysia yang pertama.
Menurutnya, semenjak mula dibuka untuk tempahan pada 21 Februari lalu, Exora sudah pun menerima lebih 2,000 tempahan.
"Kita berbangga kerana di dalam proses pengeluaran Exora dari proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), reka bentuk, ujian dan homologasi sehinggalah ke proses produksi melibatkan anak tempatan. Ini adalah satu bukti kemampuan modal insan negara," katanya.
Najib berkata Exora hanya mengambil masa 18 bulan untuk dibangunkan daripada peringkat akhir reka bentuk sehingga ke permulaan produksi.
Antara lain, Najib turut mengumumkan harga bagi MPV itu iaitu RM75,998 bagi Exora Hi-Line 1.6 Automatic, Metallic dan RM69,998 bagi Exora M-Line 1.6 Automatic, Metallic.
Ditubuhkan pada tahun 1983, Proton kini bukan lagi setakat peserta domestik tetapi juga telah mengorak langkah untuk muncul sebagai peserta global dengan menembusi pasaran automotif dunia yang kompetitif seperti United Kingdom, Australia, negara-negara Asia, Timur Tengah dan Afrika Utara. BERNAMA
Harga Yang di tawarkan:
Proton Exora 1.6L A/T M-Line Metallic - RM69,998.00Proton Exora 1.6L A/T M-Line Solid - RM69,548.00
Proton Exora 1.6L A/T H-Line Metallic - RM75,998.00
Proton Exora 1.6L A/T H-Line Solid - RM75,548.00
Tiada ulasan:
Catat Ulasan